• Home
  • Piala Presiden
  • MISC-Touchtronics FC Ikat AMD 1-1 di Shah Alam Walaupun Beraksi Dengan Sembilan Pemain
header ttfc

MISC-Touchtronics FC Ikat AMD 1-1 di Shah Alam Walaupun Beraksi Dengan Sembilan Pemain

SHAH ALAM, 29 Julai – MISC-Touchtronics FC mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat AMD 1-1 dalam aksi Piala Presiden 2026 di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak wisel permulaan. AMD terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Muhammad Iman Irfan Muhammad Hapis pada minit 45+3, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 kepada pelawat ketika rehat.

Memasuki babak kedua, MISC-Touchtronics FC tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan. Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-84 apabila Pravinash Ravindran menghasilkan hantaran sepakan percuma yang tepat sebelum disudahkan dengan kemas oleh Muhammad Haziq Mohd Hafiz untuk mengikat kedudukan 1-1.

body ttfc

Pravinash terus menjadi watak penting buat MISC-Touchtronics FC apabila bukan sahaja mencetuskan gerakan gol penyamaan, malah mengetuai jentera pasukan dengan aksi bertenaga sepanjang 90 minit sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Namun, kegembiraan tuan rumah sedikit tercalar apabila Wan Muhammad Mikhail Wan Zakaria dilayangkan kad merah pada minit ke-84. Empat minit kemudian, Muhammad Nur Irfan Mosby pula diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-88, memaksa MISC-Touchtronics FC mengharungi baki perlawanan dengan hanya sembilan pemain.

Walaupun beraksi dengan kekurangan dua pemain, MISC-Touchtronics FC mempamerkan disiplin dan semangat juang yang tinggi untuk mengekang setiap asakan AMD sehingga wisel penamat ditiup, sekali gus mengutip satu mata berharga di laman sendiri.

tail ttfc

PHOTO BY : UWAIS QARNI

Hantaran Berkaitan

Lelaki dan Wanita Negeri Sembilan Ke Final Dalam Acara Bola Keranjang Di SUKMA 2026

SHAH ALAM – Negeri Sembilan tampil cemerlang dalam saingan bola keranjang 5×5 SUKMA Selangor 2026 apabila kedua-dua pasukan…

Melaka Menambah Emas Menerusi Skuasy Berpasukan Wanita Di SUKMA Selangor 2026

PETALING JAYA – Melaka menampilkan kebangkitan membanggakan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi final acara skuasy berpasukan…

Lai Wen An Curi Tumpuan, Baru Berusia 12 Tahun Sudah Raih Dua Pingat Di SUKMA Selangor 2026

SHAH ALAM – Atlet muda Melaka, Lai Wen An mencuri tumpuan pada temasya SUKMA Selangor 2026 selepas membuktikan…

Melaka Muncul Juara Keseluruhan Silat SUKMA Selangor 2026

SELANGOR – Melaka muncul juara keseluruhan acara pencak silat pada temasya SUKMA Selangor 2026 selepas menampilkan prestasi cemerlang…

Scroll to Top